Nation
142

KDN siasat ketulenan dakwaan rakaman audio Ahmad Zahid dan Anwar : Hamzah

Kuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat ketulenan rakaman audio dan butiran perbualan yang didakwa antara Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tersebar baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN akan menyiasat semua laporan yang telah diterima oleh kementeriannya.

“Sudah tentu kita (KDN) akan menyiasat semua laporan yang telah diberikan kepada kita. Pertama sekali kita siasat tentang ketulenan dan apakah ada perbuatan itu? Kalau tiada perbualan itu maka bermakna cerita yang dibuat itu adalah fitnah.

“Jadi ada dua perkara di sini pertama, perbualan dan adakah ia tulen, kedua apa yang ada dalam perbualan itu. Betul atau tidak?” katanya dalam sidang media selepas hadir melancarkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini, hari ini.

Hamzah berkata beliau juga ada mendengar perbualan rakaman audio dan turut meneliti perbualan berkenaan.

Semalam, Ahmad Zahid menafikan perbualannya dengan Anwar seperti dalam rakaman audio yang tersebar, dan menyatakan pegawainya akan segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan, untuk mengenal pasti dalang di sebalik perkara itu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu penghantaran pulang warga Myanmar Hamzah berkata, kerajaan akan menghantar pulang sesiapa sahaja warga asing yang didapati bersalah dan selesai menjalani hukuman.

“Sesiapa sahaja warga asing bersalah di sini, apabila sampai masa kita hantar pulang, kita hantar pulang. Apa hal pula kita hendak menahan orang (warga asing) yang duduk di negara ini, yang telah menjalani segala hukuman? Kenapa kita hendak tahan dan bayar lagi kos lebih kurang RM30 sehari satu kepala?,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia dilapor memulakan penghantaran 1,200 pelarian Myanmar membabitkan pemohon suaka dan tahanan lain ke pelabuhan, selain kapal tentera laut negara itu sedang menunggu untuk membawa mereka pulang.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada kumpulan hak asasi manusia yang berusaha menghentikan pengusiran itu di mahkamah, atas alasan ia merisikokan nyawa mereka.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 23 Feb lepas, membenarkan penangguhan sementara terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang sudah dibawa ke pangkalan tentera laut Lumut, Perak. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu