Kuala Lumpur Post

Nation

Keadaan banjir di Johor semakin buruk

JOHOR BAHRU — Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila tiga daerah terjejas dengan jumlah mangsa kini meningkat kepada 276 orang yang dipindahkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Kulai menjadi daerah paling terjejas apabila seramai 194 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di dua PPS membabitkan Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya.

Segamat pula membabitkan 57 orang daripada 18 keluarga di tiga PPS sejak 2 November lalu membabitkan Balairaya Kampung Batu Badak, Balairaya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Tasek.

Kluang turut membuka sebuah PPS tengah malam tadi apabila seramai 25 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam terpaksa dipindahkan ke PPS di Dewan Utama kampung itu berikutan banjir kilat melanda.

Menurut laporan dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pagi ini, kejadian banjir di negeri ini disebabkan limpahan air sungai serta hujan lebat sejak 2 November lalu.

Katanya, limpahan air sungai serta hujan lebat menyebabkan beberapa penempatan penduduk di kawasan rendah kini mulai dinaiki air.

“Sejak 2 November lalu, tiga PPS sudah dibuka di Segamat namun tiga lagi PPS baharu dibuka di Kulai dan Simpang Renggam, Kluang malam tadi berikutan banjir mula melanda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Johor membabitkan lembangan Sungai Sayong di Kampung Sungai Siam, Kulai kini dilaporkan berada pada paras bahaya pagi ini.

Sungai itu mencatatkan paras 20.71 meter (m), berbanding paras normal 19m

Dua lagi sungai iaitu Sungai Batu Pahat membabitkan lembangan Sungai Lenik di Ladang Chaah serta Sungai Skudai di Kampung Separa kini berada di paras amaran.

Sungai Lenik mencatatkan paras semasa 5.70m berbanding paras normal 4.10m, manakala Sungai Skudai pula mencatat paras 17.49m berbanding 16 m paras normal, lapor BH Online.

Tags: , , ,