Nation
134

Kebenaran perniagaan beroperasi berdasarkan arahan MKN : DBKL

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menafikan mengamalkan dasar pilih kasih dalam membenarkan aktiviti perniagaan di ibu kota sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sebarang kebenaran untuk perniagaan beroperasi tertakluk kepada keputusan dan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi ialah pasar borong, pusat penjaja, pasar berbangunan/berbumbung, gerai tepi jalan, bazaria, kios/gerai berkunci, trak makanan, penjaja beredar, permit sementara, lesen waktu terhad dan lesen sementara KL Prihatin.

“Pasar pagi terbuka adalah sama seperti pasar malam/pasar tani yang tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

DBKL berkata setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sehingga kini pihak DBKL membuat pemantauan di lokasi berkenaan dan sejumlah 22 notis kompaun dikeluarkan terhadap premis yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa wujud layanan dua darjat oleh DBKL dalam membenarkan pasar-pasar beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh selepas menerima aduan penjaja pasar pagi terbuka yang diarahkan untuk menghentikan operasi dalam tempoh berkenaan. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu