Kuala Lumpur Post

Nation

Kecekapan tadbir urus, kerjasama Keluarga Malaysia bantu fokus pemulihan ekonomi : PM

KUANTAN — Kecekapan tadbir urus kerajaan serta kerjasama Keluarga Malaysia membolehkan negara keluar daripada pelbagai kemelut termasuk pandemik COVID-19 dan krisis geopolitik, untuk terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasilnya, selain prestasi ekonomi negara diiktiraf terbaik di Asia Tenggara, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, Malaysia turut diiktiraf negara ke-18 paling aman di dunia dari 163 negara dan kedua di Asia.

“Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang, di sini, hari ini.

Selain itu, kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan lepas berbanding 4.7 peratus pada Ogos, iaitu lebih rendah berbanding negara serantau seperti Thailand (6.4 peratus) dan Filipina (6.9 peratus) serta negara lain seperti Amerika Syarikat (8.2 peratus).

Beliau berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur pula berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke Pahang, yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia di negeri itu tahun ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,