Nation
329
0

Kecoh Menteri tak hadir, peruntukan Belanjawan KKM lulus

Kuala Lumpur – Setelah melalui perdebatan yang agak panas, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Kesihatan (KKM), belanjawan terpenting dalam memerangi COVID-19 diluluskan dengan suara majoriti pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika menggulung perbahasan itu pada awalnya diasak ‘bertubi-tubi’ oleh beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang yang inginkan beliau untuk menjawab terus persoalan berkaitan yang dibangkitkan pada sesi perbahasan.

Sebelum itu, ketidakhadiran Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut dipersoal kerana perbahasan bagi kementerian itu dianggap penting memandangkan negara ketika ini sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

Bagaimanapun Dr Noor Azmi dengan nada tegas menjelaskan beliau juga berhak untuk menjawab bagi pihak kementeriannya dan ketidakhadiran menteri berkenaan tidak perlu dipersoalkan.

Ketika beliau mula menjawab, beberapa Ahli Parlimen bangun mencelah dengan meminta Dr Noor Azmi menjawab mengenai pengurangan peruntukan bagi perbelanjaan mengurus yang menimbulkan kekeliruan dan mendakwa terdapat pengurangan dalam peruntukan itu bagi perbelanjaan tahun hadapan.

Dr Noor Azmi berkata terdapat penstrukturan semula dalam perbelanjaan mengurus di bawah Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kesihatan, tetapi ia tidak melibatkan pemotongan peruntukan sebaliknya ia adalah strategi meningkatkan kecekapan keberkesanan perbelanjaan di samping mengurangkan birokrasi terutama apabila melibatkan pembayaran.

“Tentang perbelanjaan, kerana ada yang kata ia mengelirukan, kenapa, bagaimana dilihat butiran tinggal 0 sahaja sehingga ada yang menyatakan ia underfunded. Saya ingin tegaskan kerajaan memperuntukkan RM31.94 bilion dalam Belanjawan 2021 berbanding RM30.6 bilion tahun lalu iaitu peningkatan 4.38 peratus atau RM1.34 bilion kenaikan,” jelas Dr Noor Azmi.

Beliau berkata penstrukturan semula itu juga bagi mengelakkan isu kelewatan pembayaran selain membolehkan kementerian mengawal dan memantau peruntukan secara menyeluruh dan lebih berkesan.

Pendekatan ini, katanya akan membantu mengoptimumkan sumber kewangan melalui kaedah perolehan sedia ada supaya lebih menjimatkan peruntukan kerajaan secara keseluruhan.

Sementara itu Dr Noor Azmi berkata KKM sentiasa berusaha membangunkan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di fasiliti kesihatan seluruh negara sejak RMK6 dan sehingga kini 37 daripada 146 hospital, 96 daripada 1,090 klinik kesihatan dan 31 daripada 362 klinik pergigian di seluruh negara telah disediakan EMR.

Menyentuh mengenai situasi kes demam denggi, beliau berkata dari Januari hingga 6 Dis tahun ini sebanyak 87,279 kes dilaporkan berbanding 121,983 bagi tempoh sama tahun lalu iaitu pengurangan sebanyak 1,029 kes atau 28.4 peratus.

Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 141 kematian dicatat bagi tempoh sama berbanding 171 kematian bagi tempoh sama tahun lalu iaitu pengurangan sebanyak 30 kematian, katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu