Nation
429

Kedah cadang bina TAPS simpan air dari Gunung Jerai

Merbok – Kerajaan negeri Kedah bercadang membina sebuah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Tupah, di sini, bagi menakung air dari Gunung Jerai yang boleh digunakan ketika musim kemarau.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pada masa ini terdapat dua TAPS di sungai tersebut dan pembinaan sebuah lagi dijangka dapat memaksimumkan takungan air untuk dibekalkan kepada penduduk di kawasan Merbok.

“Ketika musim hujan banyak aliran air dari Gunung Jerai, jadi kita akan buat satu lagi TAPS di sungai ini. Air ini kalau tidak disimpan ia akan mengalir ke laut.

“Jadi lebih baik air yang mengalir kita salirkan ke takungan dan simpan untuk dibekalkan kepada penduduk, terutama bagi kegunaan pada musim kemarau,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kediaman penduduk yang terjejas banjir di Tupah, di sini hari ini.

Menurutnya, perkara itu merupakan antara inisiatif yang dibincangkan kerajaan negeri dengan Kementerian Air dan Alam Sekitar semalam bagi pemulihan semula beberapa kawasan di daerah Yan dan Kuala Muda yang dilanda banjir ekoran fenomena kepala air, kelmarin.

Muhammad Sanusi berkata dalam perbincangan itu, kerajaan negeri turut mencadangkan kepada kementerian berkenaan untuk menaik taraf dua jambatan di Sungai Tupah agar lebih tinggi bagi memberi ruang lebih luas kepada aliran air sungai di bawahnya.

“Jambatan yang ada ketika ini rendah jadi apabila berlaku fenomena kepala air yang membawa ranting dan kayu, ia akan tersangkut di jambatan menyebabkan air melimpah ke kawasan kediaman penduduk,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bencana banjir juga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Tupah tersumbat yang menjejaskan bekalan air kepada penduduk dan menyukarkan mereka membersihkan kediaman yang dipenuhi lumpur.

Bagi menyelesaikan perkara itu, beliau berkata pihaknya meminta bantuan Bomba Sukarela mengepam air Sungai Tupah ke dalam tangki statik bagi kegunaan penduduk membersihkan rumah masing-masing, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu