Nation
373

Kedudukan tempoh darurat: Kerajaan teruskan peranan nasihati Agong

Kuala Lumpur – Jemaah Menteri bertanggungjawab untuk meneruskan peranannya menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata ini selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar kerajaan memfokuskan langkah khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat secara efektif.

“Ia (nasihat kepada Seri Paduka) setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan susulan laporan media yang memetik Ketua Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada apa yang dapat menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sebelum ini tertangguh, daripada diadakan.

Dr Noor Hisham turut dilapor menyatakan bahawa kini hanya Al-Sultan Abdullah mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos ini perlu diteruskan atau tidak.

Darurat diisytiharkan untuk seluruh negara pada 12 Jan dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada 8 Mei, Bernama melaporkan Dr Noor Hisham berkata dengan adanya Ordinan Darurat, sebanyak tiga PRK tidak diadakan iaitu PRK Batu Sapi, Bugaya dan Gerik, selain PRN Sarawak.

Di bawah Ordinan Darurat, Pilihan Raya Umum (PRU), PRN dan PRK tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Sementara itu, Takiyuddin berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisme yang wujud dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat.

Katanya Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Al-Sultan Abdullah atas nasihat Jemaah Menteri sebelum ini, adalah selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan merupakan asas tanggungjawab utama serta khusus kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat terus dipelihara.

“Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang dibangkitkan, tidak seharusnya timbul,” katanya. — Bernama

 

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu