Social
280

Kegembiraan 8 beranak tukar tragedi

Kuantan – Kegembiraan lapan beranak berkelah dan bermandi-manda di Sungai Mas, di sini, bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lemas selepas dihanyutkan arus deras, hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Nur Syakirah Shahrizan, 12, dikatakan sedang mandi bersama dua beradiknya berhampiran tapak perkelahan mereka.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata berdasarkan laporan, mangsa sekeluarga bertolak dari rumah mereka di Inderapura pada jam 8.30 pagi dan tiba di Sungai Mas kira-kira sejam kemudian.

Kira-kira jam 10.10 pagi, beliau berkata, mangsa bersama dua beradiknya dikatakan turun ke sungai untuk mandi berhampiran tapak perkelahan sebelum ketiga-tiga mereka tenggelam.

“Bapa mangsa yang berada di lokasi kejadian sempat menyelamatkan dua daripada mereka tetapi mangsa dihanyutkan arus deras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, orang awam dan penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian turut membantu usaha menyelamat sebelum mangsa ditemui kira-kira 10 minit kemudian.

“Bapanya terus membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai saudara kembar. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu