Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Kegiatan penyelewengan punca minyak masak paket berkurangan di P. Pinang : KPDNHEP

Butterworth – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengenal pasti punca berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri itu berikutan terdapat kegiatan penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata berikutan itu pihaknya telah meningkatkan risikan dan intipan di gudang serta kilang yang menjalankan pembungkusan dan pemborong bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan barangan itu.

“Kami ada terima aduan berhubung kekurangan bekalan minyak masak paket sama ada melalui media sosial atau secara rasmi, saya memandang serius mengenai perkara tersebut malah kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab melakukan penyelewengan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas membuat tinjauan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid At-Taqwa di Mak Mandin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata terdapat 25 syarikat yang menjalankan pembungkusan minyak masak paket dan 500 pemborong di Pulau Pinang ketika ini dengan pemantauan serta risikan turut dijalankan ke atas mereka bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

“Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, baru-baru ini (24 Dis) kami telah menyerbu sebuah premis tidak berlesen di Bagan Ajam, di sini yang menjalankan kegiatan pemindahan minyak bersubsidi membabitkan 20 tan minyak masak dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan tersebut lebih tiga bulan lepas.

Mengenai PJKM, beliau berkata sebanyak 13 program jualan berkenaan telah diadakan di Pulau Pinang sejak Disember tahun lepas dan akan diteruskan sehingga Mac depan berikutan sambutan yang memberangsangkan.

“Penganjuran PJKM akan diadakan dua kali sebulan secara bergilir di setiap Parlimen dengan memfokuskan lokaliti penduduk dalam kalangan B40 dan M40, sambutan diterima sangat menggalakkan daripada penduduk setempat dan ramai tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan yang dijual murah antara lima hingga 20 peratus,” katanya.

Seorang pengunjung, Pynun Pydi, 73, berkata beliau berpuas hati dengan harga barangan yang ditawarkan dalam PJKM ini kerana kebanyakannya lebih murah berbanding harga di pasaran dan beliau boleh berjimat.

“Telur, ayam dan beras antara barang keperluan yang murah di PJKM dan kalau boleh diadakan di lokasi yang sama setiap bulan lebih baik,” kata warga emas yang mempunyai dua anak itu.

Bagi Rosli Bidin, 65, beliau berharap program itu dapat diteruskan untuk tempoh yang lebih panjang kerana ia memberi banyak manfaat kepada rakyat ketika ini, lapor Bernama.

Tags: ,