Social
80

Kehidupan gelandangan berubah sekelip mata

Abuja –  Siapa sangka kehidupan seorang pemuda gelandangan dari Osun, Nigeria berubah sekelip mata selepas ditawarkan menjadi model.

Oddity Central melaporkan bakat Ali Olakunmi disedari seorang pengarah kreatif agensi peragaan, Afolabi.

Ketika itu, Afolabi sedang menunggu kedatangan seorang model lelaki untuk sesi fotografi di Ikeja sebelum dia ternampak Ali yang tidur di bawah jambatan

Menyedari potensi lelaki itu sebagai model, Afolabi cuba menyapa Ali sebelum memberinya pakaian untuk digayakan.

Namun, ia bukanlah tugasan peragaan terakhir lelaki itu.

Ia kerana banyak agensi peragaan antarabangsa di Lagos menghubungi Afolabi selepas kisah Ali dimuat naik di Twitter dan dikongsi oleh ramai pihak.

“Saya percaya Ali dilahirkan untuk menjadi model.

“Gayanya beraksi, bentuk badan dan tona kulitnya cukup sempurna,” tulis Afolabi.

Belum ada kepastian sama ada Ali sudah menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat agensi peragaan.

Namun, pemuda itu sudah membuka akaun Twitter yang kini dikendalikan syarikat pengurusan.

Selain itu, lelaki itu melakukan sesi fotografi dengan banyak jurugambar.

“Nama saya Ali, saya dilahirkan untuk menjadi hebat,” demikian kata Ali di akaun Twitternya yang kini mempunyai lebih 3,500 pengikut. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu