Nation
362

Kejadian pegawai imigresen didakwa cuba merompak adalah tidak benar : Polis

Kuala Lumpur – Kejadian pegawai imigresen yang didakwa cuba melakukan rompakan seperti yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini adalah tidak benar, menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak.

Beliau berkata sebaliknya pegawai berkenaan sedang menjalankan siasatan rasmi ke atas seorang individu di sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang di sini.

“Hasil siasatan mendapati pegawai Imigresen terbabit turut memperkenalkan diri dan memberitahu tentang tujuan kehadiran ke rumah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya dalam pemeriksaan itu, gambar pegawai imigresen berkenaan telah disebar dan ditularkan berserta dengan kenyataan berunsur fitnah dan cuba merosakkan nama baik pegawai terbabit.

Semalam, tular di aplikasi media sosial berhubung kegiatan individu hadir rumah ke rumah kononnya bagi mengesahkan setiap orang mempunyai kad pengenalan sah untuk terlibat dalam pilihan raya akan datang dan cuba melakukan rompakan.

Mohamad Farouk turut mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, yang merupakan tuan rumah semasa pemeriksaan dilakukan pegawai imigresen terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang pendatang tanpa izin yang dipercayai menggigit jari tangan dan memukul seorang lelaki berumur 22 tahun di hadapan sebuah rumah di Ampang di sini, Sabtu lepas.

Beliau berkata mangsa dipercayai cuba membantu kakak iparnya yang mendakwa diganggu lelaki warga asing berumur 36 tahun terbabit, sebelum suspek bertindak menggigit jari tangan dan memukul mangsa dengan batang besi hingga cedera.

Beliau berkata punca kejadian terbabit disebabkan suspek bertanyakan alamat dan butiran diri kakak ipar mangsa.

“Suspek direman hingga 23 Julai depan dan semakan lanjut mendapati dia juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu