Nation
109

Covid-19 : Kelantan bakal terima vaksin CanSino

Kota Bharu – Kerajaan bakal membekalkan vaksin berdos tunggal COVID-19 jenis CanSino kepada Kelantan, pada Julai ini dan suntikan vaksin berkenaan akan diutamakan kepada penduduk di kawasan pedalaman termasuk di penempatan Orang Asli.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, bagaimanapun berkata jumlah bekalan vaksin yang bakal diagihkan kepada Kelantan itu akan diumumkan kelak, selepas kerajaan menerima bekalan vaksin berkenaan, bulan depan.

“Vaksin satu dos ini amat penting bagi memudahkan pihak berkuasa memberi suntikan kepada penduduk di kawasan pedalaman termasuk kaum Orang Asli seperti di Gua Musang, Kuala Krai dan sebagainya, supaya tidak perlu masuk (kawasan pedalaman) dua kali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Darulnaim, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata dua jenis vaksin COVID-19 iaitu CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) yang hanya memerlukan satu suntikan dos, diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan.

Dr Noor Hisham berkata kelulusan itu dicapai melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali-359 dua hari lepas (15 Jun).

Sementara itu, ditanya mengenai strategi kerajaan dalam mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini, Khairy berkata pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara akan dibuka secara ‘walk in’ selepas kesemua individu yang berdaftar selesai menerima vaksin.

“Kita yakin selepas selesai beri kepada mereka yang berdaftar untuk janji temu (suntikan vaksin), kita akan buka PPV secara walk-in (jumpa terus) contohnya di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata melalui kaedah itu pihaknya menjangkakan proses suntikan vaksin dapat diselesaikan secepat mungkin sekali gus mencapai sasaran kerajaan untuk membentuk 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini atau mungkin lebih awal.

“Untuk ‘walk-in’ ini nanti, sesiapa yang belum mendaftar boleh dapatkan janji temu secara walk-in di PPV tersebut,” jelasnya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu