Kuala Lumpur Post

Nation

Kelemahan tatakelola, rasuah perlu ditangani segera : PM

KUALA LUMPUR — Kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sistemik dan bermaharajalela ialah isu pokok yang perlu ditangani segera sebelum masalah struktural yang melemahkan kekuatan ekonomi negara diselesaikan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau menekankan soal rasuah kerana ia menjadi barah utama yang melemahkan ekonomi negara serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat.

Katanya, isu itu berlaku pada setiap peringkat, membebankan rakyat dengan kerenah sesetengah golongan yang masih mahu mengaut komisen sebelum sebarang kelulusan diberikan.

“Tahun pertama lagi saya telah tegaskan keperluan menghentikan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan, apa yang disebut sebagai tender rundingan, beralih kepada sistem tender terbuka,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara malam ini.

Terdahulu, beliau berkata, dua masalah struktural yang melemahkan kekuatan ekonomi negara adalah ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan yang hambar serta kedudukan kewangan kerajaan persekutuan yang lemah.

Mengenai kes rasuah yang dibangkitkan dalam kalangan rakyat, Anwar menegaskan, siasatan diteruskan dan ada jalur hukum dan proses mahkamah yang harus diikuti.

Justeru, katanya, kerajaan memberikan ruang sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara untuk bertindak tegas, selain menjamin perkhidmatan awam yang lebih teratur, bersih dari rasuah, kelembapan dan kemalasan.

“Apa yang penting, amalan ini (rasuah) mesti dihentikan. Proses mengambil masa dan kadang-kadang melelahkan.

“Saya sendiri seperti ramai yang lain rasa tidak sabar, mengapa amalan lalu yang mengaut kekayaan menimbun tidak dikenakan tindakan,” katanya sambil meluahkan keyakinan isu rasuah dapat diselesaikan jika dibanteras secara konsisten dan tegas.

Beliau memberi contoh projek Rancangan Tebatan Banjir yang dilaksanakan secara tender terbuka dan mampu menjimatkan wang rakyat sehingga RM2 billion.

Anwar berkata, kerajaan juga berjaya menangani isu segelintir pegawai awam terlibat dalam sindiket penyeludupan di pintu masuk negara yang menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.

Selain itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel.