Social
571

Keluarga Kamarulnizam dapat ganti rugi lebih RM300,000

Putrajaya – Mahkamah Rayuan hari ini memberikan pampasan sebanyak RM302,800 kepada keluarga pekerja kilang Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 2014.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim diketuai Datuk Yaacob Md Sam memberikan pampasan sebanyak RM250,000 sebagai ganti rugi bagi kecuaian dan RM40,800 bagi tuntutan tanggungan kepada ibu Kamarulnizam iaitu Rahaya Salleh yang berusia 71 tahun.

Panel itu turut membenarkan permohonan bagi mendapatkan faedah sebanyak empat peratus ke atas ganti rugi am dari tarikh writ saman difailkan iaitu pada 3 Mac 2017 sehingga mahkamah membuat keputusan dan faedah sebanyak lima peratus bagi tuntutan tanggungan dari tarikh hari ini sehingga penyelesaian penuh jumlah terbabit.

Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M.Gunalan yang turut bersidang juga membenarkan kos sebanyak RM5,000 diberikan kepada Rahaya bagi prosiding di Mahkamah Rayuan.

Peguam M.Visvanathan, yang mewakili Rahaya, ketika dihubungi berkata jumlah sebenar yang bakal diperoleh anak guamnya ialah RM337,800 termasuk ganti rugi khas sebanyak RM10,000 serta RM2,000 bagi kos pengebumian, RM30,000 bagi kos prosiding di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 bagi kos prosiding di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah itu tidak termasuk faedah.

Semasa prosiding mahkamah pada 24 Jun lepas, panel sama telah membenarkan rayuan Rahaya bagi mendapatkan tuntutan tanggungan serta membenarkan sebahagian daripada rayuan kerajaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi sebanyak RM100,000 bagi penahanan salah dan RM50,000 bagi misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam kepada keluarga Kamarulnizam.

Selain ganti rugi bagi kecuaian dan tuntutan tanggungan, panel itu turut memberikan ganti rugi khas serta kos pengebumian dan meningkatkan jumlah kos bagi prosiding di Mahkamah Tinggi daripada RM12,000 kepada RM30,000 kepada Rahaya.

Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatikan polis, pegawai penjara dan kerajaan bertanggungjawab bagi kecuaian dan menetapkan hari ini untuk memutuskan kuantum ganti rugi bagi kecuaian dan tuntutan tanggungan.

Ahmad Nasfy, yang menyampaikan keputusan hari ini, berkata RM250,000 adalah jumlah yang wajar sebagai ganti rugi am bagi kecuaian kerana mangsa terpaksa menjalani tempoh tahanan serta soal siasat yang lama dan ini telah menjejaskan keadaan mental serta kesihatannya.

Beliau berkata Kamarulnizam, 39, telah diletak di bawah tahanan reman dan dipindahkan dari satu lokap ke lokap lain serta terpaksa menempuh tempoh soal siasat yang lama oleh pasukan penyiasat yang berbeza.

Katanya Kamarulnizam telah didakwa pada 4 Mac 2014 dan dia telah mengaku bersalah serta ditempatkan dalam sebuah lokap sebelum dipindahkan ke penjara Tapah sehari selepas itu.

Ahmad Nasfy berkata keadaan kesihatan Kamarulnizam telah merosot dan tiada seorang pun dalam pasukan polis yang mempedulikan perkara itu.

Beliau berkata penyakit radang paru-paru Kamarulnizam tidak mungkin berlaku dalam tempoh semalam dan dia juga tidak mendapat perhatian dari segi perubatan.

Dilaporkan bahawa Mahkamah Majistret di Pulau Pinang telah mengenakan hukuman denda RM800 atau penjara 14 hari terhadap Kamarulnizam selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1957 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Kamarulnizam, yang bekerja di sebuah kilang gula di Pulau Pinang, memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta meskipun bapanya hadir di mahkamah untuk membayar denda.

Rahaya, 71, memfailkan saman itu terhadap polis, pegawai penjara dan kerajaan pada 3 Mac 2017 dan menuntut ganti rugi bagi tuntutan tanggungan, misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam serta ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas.

Pada Ogos 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab bagi kecuaian itu memberikan pampasan sebanyak RM100,000 kepada keluarga Kamarulnizam berhubung penahanan salahnya dan RM50,000 bagi misfeasans.

Turut mewakili Rahaya ialah peguam Sanjay Nathan manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, Andi Razali Jaya A. Dadi dan Mohd Ashraf Abd Hamid hadir bagi pihak polis, pegawai penjara serta kerajaan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu