Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Kemalangan maut : Pemandu lori sayur ditahan

KUALA KANGSAR — Polis menahan seorang pemandu lori muatan sayur selepas dipercayai cuai hingga menyebabkan kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 247.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, petang Isnin.

Nahas kira-kira jam 3.40 petang itu menyebabkan Arnie Kartikah Abu Bakar, 46, dari Taman Minang, Tampin, Negeri Sembilan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata nahas membabitkan lori dipandu suspek berusia 48 tahun berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dengan masing-masing sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan menghala utara dengan aliran trafik di tempat kejadian ketika itu agak sesak, selain ketiga-tiga kenderaan itu sedang berada di lorong kiri ketika kejadian.

Katanya, setiba di lokasi nahas, MPV Proton Ertiga dinaiki mangsa yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun diperlahankan kelajuannya, namun MPV terbabit secara tiba-tiba dilanggar lori sayur berkenaan dari arah belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan MPV berkenaan terseret ke hadapan lalu melanggar kereta Proton Wira dipandu wanita berusia 53 tahun yang berada di hadapannya.

“Ia mengakibatkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang parah dan disahkan meninggal dunia di situ,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya, semua tujuh individu yang terbabit dalam nahas itu termasuk pemandu ketiga-tiga kenderaan terbabit bagaimanapun tidak cedera.

Omar Bakhtiar berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu lori terbabit dengan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor BH Online.

Tags: , ,