Kuala Lumpur Post

Social

Kemalangan maut : Polis kesan kenderaan, saksi

SEREMBAN — Polis sedang mengesan kenderaan dan saksi berhubung kemalangan maut membabitkan seorang pelajar Politeknik Merlimau, Melaka di Kilometer 252, Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata dalam kejadian kira-kira 1.45 pagi itu mangsa Muhammad Naufal Amjad, 19, yang beralamat di Kampung Banggol Tok Jiring, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha sedang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara. Setakat ini, terdapat seorang saksi bebas yang mungkin dapat membantu siasatan.

“Keadaan bentuk jalan di lokasi kemalangan adalah jalan lurus yang mempunyai tiga lorong sehala dan tiada lampu jalan dengan keadaan cuaca ketika itu baik dan permukaan jalan kering,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau merakamkan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Zaman Mohd Hayal di talian 0127173867.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Bernama.

Tags: , , ,