Kuala Lumpur Post

Social

Kemalangan maut: Polis mohon saksi di Bandar Baharu tampil bantu siasatan

NIBONG TEBAL — Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) memohon bantuan orang ramai atau saksi untuk tampil membantu siasatan bagi satu kes kemalangan maut di kilometer 167.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bandar Baharu, di sini pada 7 April lepas.

Ketua Polis Daerah Supt Chong Boo Khim berkata kejadian dimaklumkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) kira-kira 8.50 pagi, melibatkan kereta jenis Honda Civic berwarna hitam dengan sebuah lagi kenderaan dipercayai lori.

“Kemalangan telah menyebabkan pemandu kereta, seorang lelaki berusia 35 tahun dari Balik Pulau meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian leher.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan kenderaan yang terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, Chong berkata berkemungkinan kereta dipandu mangsa itu yang melanggar kenderaan satu lagi tetapi sehingga kini tiada laporan dibuat oleh pemandu kenderaan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian supaya tampil menghubungi BSPT SPS di talian 04-5858340 bagi membantu siasatan.