Nation
190

Kematian berkaitan Covid-19 mungkin cecah 26,000 kes menjelang Sept : Kajian

Kuala Lumpur – Satu kajian mendapati jumlah kematian berkaitan COVID-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September berdasarkan trajektori semasa, kata Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 2,993 setakat hari ini.

Beliau berkata kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) University of Washington itu juga menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.

“COVID-19 bakal jadi punca kedua kematian di Malaysia selepas sakit jantung,” kata pakar penyakit berjangkit itu pada program Sinar Harian yang dihoskan oleh Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung hari Khamis.

IHME dalam laman webnya menyatakan anggaran itu mengambil kira enam pendorong perubahan kematian yang berlaku sejak bermulanya wabak tersebut.

Ini termasuk jumlah keseluruhan kematian yang berkait secara langsung dengan jangkitan COVID-19, peningkatan kes kematian akibat penangguhan penjagaan kesihatan, pertambahan kematian disebabkan peningkatan gangguan kesihatan mental dan jumlah kematian yang menurun kerana kes kecederaan turut menurun disebabkan sekatan pergerakan.

Selain itu, penurunan kematian juga disebabkan pengurangan penyebaran virus lain dan beberapa keadaan kronik seperti penyakit kardiovaskular yang berlaku kepada individu lemah yang boleh membawa maut dengan kondisi itu, meninggal dunia lebih awal disebabkan COVID-19.

Dr Adeeba yang juga Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia menegaskan bahawa memerangi COVID-19 adalah tindakan yang perlu dilibatkan semua rakyat Malaysia dengan sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada masa ini menjadi medan peperangan yang sangat penting.

“Kita sepatutnya melihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk berfikir, buat rancangan strategik dan atur semula. Buat rancangan yang benar-benar boleh dibawa ke hadapan sementara menunggu pelaksanaan vaksin sepenuhnya. Saya tidak fikir kita mampu menghadapi PKP 5.0 pula.

“Pucuk pimpinan juga perlu mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat sebab dalam erti kata kesihatan awam, kepercayaan adalah mata wang kepada kesihatan awam…mahu atau tidak, kerajaan perlu mendapat semula kepercayaan itu yang diperoleh semasa PKP sebelum ini,” katanya. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu