Social
533

Kematian lelaki : 5 ditahan terlibat dalam pergaduhan

Kuala Lumpur – Polis menahan lima lelaki kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki di Taman Taragon Puteri Cheras, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua lelaki itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Cheras bermula malam tadi hingga pukul 3.30 pagi.

“Pada 6.45 petang semalam, polis menerima panggilan kecemasan melibatkan pergaduhan antara beberapa lelaki di Jalan Persiaran Puteri 1, Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras.

“Sebaik saja anggota polis tiba di tempat kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata berdasarkan kesan kecederaan, polis percaya suspek bersenjatakan pisau serta batu bata, dan motif kejadian disyaki akibat hutang.

Beliau berkata semua suspek berusia 39 hingga 48 tahun direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu