Social
162

Kematian polis : Bekas pemandu lori mengaku tak bersalah

Gerik – Seorang bekas pemandu lori dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis di KM 63.9 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini, pada Disember tahun lepas.

Bagaimanapun tertuduh Syahrim Azli Ismail, 44, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Mengikut pertuduhan, Syahrim Azli didakwa sebagai pemandu lori jenis Hino nombor pendaftaran CDH5815, memandu kenderaan berkenaan di atas jalan raya secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ahmad Firdaus Ismail yang berusia 24 tahun ketika kejadian.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di KM63.9 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu pada kira-kira pukul 1 petang, 5 Dis tahun lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta lesen digantung tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Farizan Said, manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Norhidayati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu