Social
184

Kematian tahanan : Kerajaan, PDRM diarah bayar ganti rugi RM281,300

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi berjumlah RM281,300 kepada keluarga Benedict Thanilas yang meninggal dunia di Lokap Berpusat Jinjang, di sini, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan berhubung ganti rugi kepada isteri mendiang dan anak perempuan, N. Janagi dan B. Angeline selepas prosiding kes saman sivil keluarga tersebut terhadap kerajaan dijalankan secara dalam talian hari ini.

Keluarga itu memfailkan saman terhadap 23 pegawai dan anggota polis, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia, selaku defendan, pada Julai 2020.

Mereka mendakwa kematian Benedict, 44, yang mempunyai beberapa masalah kesihatan, disebabkan kecuaian polis dalam memastikan si mati mendapat akses kepada ubat-ubatan dan rawatan perubatan lain semasa berada dalam tahanan.

Peguam keluarga tersebut, M. Visvanathan, ketika dihubungi Bernama, berkata mahkamah menetapkan bayaran RM4,000 untuk kos pengebumian, RM30,000 ganti rugi untuk kesedihan, RM91,800 bagi kehilangan saraan, RM50,000 ganti rugi untuk sakit dan penderitaan, RM100,000 ganti rugi teruk dan RM5,500 untuk kos pengeluaran surat kuasa mentadbir harta pusaka.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar RM40,000 sebagai kos kepada plaintif,” sambil menambah mahkamah tidak menganugerahkan sebarang ganti rugi untuk misfeasans akibat pelanggaran tugas anggota polis.

Sebelum ini, media melaporkan Benedict ditahan dan ditempatkan di lokap berkenaan pada 29 Jun 2017 kerana disyaki mengedar dadah dan dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 10 Julai 2017 kerana mengalami kesukaran bernafas tetapi disahkan meninggal dunia.

Tahun lepas, Koroner Mahyon Talib memutuskan wujud faktor kecuaian dan keabaian tugas oleh pihak polis yang membawa kepada kematian Benedict, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu