Politics
111

Kemelut Melaka: MT UMNO bermesyuarat Khamis ini

Melaka – Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat pada Khamis ini bagi membincangkan kemelut politik di Melaka, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Segala cadangan dan langkah mengenai apa yang perlu dilakukan selepas ini akan dibentangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada MT.

“Tentunya Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Presiden UMNO (Datuk Seri Mohamad Hasan) serta Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan memberi pandangan mengenai situasi politik Melaka,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pimpinan Badan Perhubungan UMNO Melaka di Klebang semalam.

Ab Rauf selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 5 Okt lepas dilapor berkata Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Ia rentetan daripada tindakan empat Ahli DUN (ADUN) kerajaan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang memiliki 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua PKR dan dua Amanah.

Mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon, Ahmad memaklumkan perkara itu masih dalam perundingan dan belum dimuktamadkan lagi, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu