Nation
1K

Kempen kibar bendera hitam disiasat polis

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka siasatan berhubung kempen kibar bendera hitam yang diwar-warkan menerusi laman media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kewujudan kempen tersebut dan memaklumkan satu kertas siasatan mengenainya telah dibuka.

“Untuk makluman, satu kertas siasatan berhubung perkara itu telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini kami belum memanggil mana-mana individu untuk dirakamkan keterangan memandangkan ia masih baru dan pihak polis sedang mengesan mereka yang terlibat dengan kempen ini,” katanya lapor Kosmo Online.

Terdahulu, laman media sosial dibanjiri dengan seruan mengibarkan bendera hitam di hadapan rumah, kedai, jalanan atau mana-mana lokasi dirasakan sesuai yang didakwa sebagai tanda kekecewaan rakyat terhadap kerajaan.

Orang ramai turut diminta mengambil gambar dan memuat naik ke media sosial secara serentak pada pukul 3 petang hari ini dengan menggunakan tanda pagar #Lawan sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut.

Kempen berkenaan muncul selepas satu lagi kempen serupa iaitu kempen kibarkan bendera putih bagi membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19 mendapat sambutan masyarakat.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu