Nation
123

Kenaikan kadar tol 2021 ditangguh

Petaling Jaya – Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol sepanjang tahun 2021 selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan penangguhan itu melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya dinaikkan kadar tol bermula 1 Januari 2021 iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Penangguhan kenaikan kadar tol itu bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021 dengan terdapat lebuh raya dan plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol seperti dipersetujui sebelum ini.

“Ia melibatkan 21 lebuh raya dan sebuah plaza tol untuk semua kelas kenderaan antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

“Manakala satu lebuh raya dan dua plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 1 dan Kelas 5 manakala satu lebuh raya dan tiga plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 5 sahaja dan satu lebuh raya ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Fadilah berkata, anggaran pampasan yang ditanggung kerajaan susulan penangguhan itu ialah RM2.25 bilion dengan rundingan menstruktur semula kadar tol bersama syarikat konsesi masih berjalan dan Kabinet bersetuju ia dimuktamadkan sebelum 2023.

“Anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya. – Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu