Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Kepentingan peribadi, pegangan politik boleh bawa kepada perpecahan : PM

Kuala Lumpur – Kepentingan peribadi dan pegangan politik yang akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan, namun disebabkan perbezaan pegangan politik, ia kadangkala menjadi punca kepada perpecahan.

Beliau berkata perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi bukan sahaja para pemimpin, tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan, dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini,” katanya merasmikan Kongres Perpaduan Negara secara maya di sini hari ini.

Katanya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

Ismail Sabri berkata maka tidak hairanlah Malaysia telah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia, kerana berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup dengan aman damai melalui sikap toleransi yang amat tinggi.

Lantaran itu, Perdana Menteri berkata sewaktu beliau mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengambil langkah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada 13 Sept lalu.

Ini katanya bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu dan bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan serta ekonomi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mahu setiap Keluarga Malaysia sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

“Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri melahirkan penghargaan di atas penganjuran Kongres Perpaduan Negara yang bertujuan merintis jalan ke arah perpaduan Keluarga Malaysia serta merealisasikan matlamat memperkasa perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat.

Beliau berkata ia wajar dicontohi semua pihak bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara ini.

“Ia sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan agar keharmonian antara agama dan bangsa yang pelbagai dapat dijaga,” katanya.

Kongres bertemakan ‘Perpaduan Bangsa Asas Kesejahteraan Negara’ itu dianjurkan bersama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Kongres Perpaduan Negara yang dijalankan secara webinar selama dua hari bermula hari ini itu disertai lebih 1,000 peserta terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

Ismail Sabri turut berharap kongres itu mampu menjadi platfom bagi percambahan ilmu serta pemikiran merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini serta mencari mekanisme terbaik dalam menangani isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran dihadapi kini.

“Gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi akan datang,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,