Social
174
0

Kepung dan maki polis, 7 lelaki ditahan

Georgetown – Polis Pulau Pinang menahan tujuh suspek lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu mengepung dan menghalang tugas polis selepas kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.20 petang itu, kumpulan lelaki itu dikatakan turut membuat provokasi dan memaki hamun tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang didakwa kononnya telah menendang motosikal dinaiki dua lelaki berkenaan.

Tindakan kesemua suspek turut menjadi tular di media sosial malah menerima kecaman warganet kerana bertindak sedemikian terhadap penjawat awam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra’ais ketika dihubungi mengesahkan penahanan tujuh lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun itu di sekitar daerah Timur Laut, di sini, sejak 8 pagi hingga 6 petang semalam.

“Kesemua suspek akan direman esok (hari ini). Kes disiasat menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 506 Kanun kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong menafikan tiga anggota URB telah bertindak menendang motosikal dinaiki dua lelaki terbabit sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam kemalangan.

Jelasnya, anggota URB yang sedang membuat rondaan telah terserempak dangan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tanpa memakai topi kaledar dan telah mengarahkan mereka untuk berhenti bagi membuat pemeriksaan.

Namun, penunggang motosikal berkenaan terus memecut laju melarikan diri sebelum berlanggar dengan sebuah kenderaan lain di persimpagan tersebut.  —  Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu