Nation
147

Keputusan kerajaan wajibkan penjawat awam ambil vaksin sah mengikut syarak

Kuala Lumpur – Keputusan kerajaan mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin COVID-19 berdasarkan pertimbangan tertentu, adalah sah dari sudut pandangan syariah dan perlu dipatuhi serta tidak boleh dianggap menyekat kebebasan individu di negara ini.

Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, berdasarkan Siasah Syar’iyah, apabila kerajaan mewajibkan penjawat awam divaksinasi, maka kelompok yang enggan patuh boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan berkaitan kepentingan umum serta tidak bertentangan dengan syariat.

“Agama Islam melalui bidang Siasah Syar’iyah memberikan hak mutlak kepada pemerintah (kerajaan yang mentadbir) untuk mengeluarkan arahan tertentu dalam menguruskan keadaan darurat seperti penularan COVID-19.

“Tindakan tatatertib dikategorikan sebagai hukuman ringan yang boleh dikenakan kerajaan menurut Siasah Syar’iyah,” katanya baru-baru ini.

Pada 30 September lalu, , Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 dan mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November ini.

Menurut JPA, hampir 98 peratus pegawai mengambil vaksin manakala kelompok yang belum mendaftar adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus membabitkan 16,902 orang.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Syed Shahridzan berkata, vaksinasi adalah demi kepentingan umum dan bukan individu serta memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik individu tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain mudah dijangkiti COVID-19.

“Dalam kes ini, kita menggunakan kaedah fekah ‘al-masalahatu al-‘ammatu muqaddamatun ‘ala al-maslahati al-khaassati’ (kepentingan awam lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi).

“Kerajaan boleh mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas penjawat awam atas dasar maslahat (kepentingan).

“Berdasarkan kelebihan yang diperuntukkan oleh Siasah Syar’iyah kepada pemerintah (kerajaan), ia boleh mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas semua rakyat di negara ini,” katanya.

Menurut Syed Shahridzan, ini berpandukan kaedah fekah lain yang menyatakan, ‘tasarruful Imami ‘ala al-ra’iyyati manutun bil maslahati’ (keputusan kerajaan untuk rakyat dilaksanakan demi kepentingan mereka).

Beliau berkata, majoriti umat Islam di negara ini bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mewajibkan taat kepada arahan pemerintah dalam perkara berhubung kepentingan umum dan tidak bertentangan dengan syariah, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu