Nation
94
0

Keputusan permohonan Najib gugur Sri Ram 15 Februari ini

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 15 Februari ini bagi keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Terdahulu, Ahmad Akram berhujah bahawa Sri Ram tidak pernah dikenakan sebarang salah laku pendakwaan oleh mahkamah.

Ahmad Akram, berkata tiada sebarang bukti material dikemukakan bagi menyokong dakwaan bahawa Sri Ram terbabit dalam siasatan berkaitan 1MDB.

“Dalam isu membabitkan siasatan dan berat sebelah, perkara itu sudah diputuskan oleh mahkamah terdahulu dan oleh itu Res Judicata terpakai,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee, berhujah bahawa permohonan menggugurkan Sri Ram bukan bertujuan menghukum bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan itu, sebaliknya untuk memastikan tiada sebarang salah laku pendakwaan.

Tambahnya, Sri Ram juga turut bersifat berat sebelah selain mempunyai prasangka dan tanggapan bahawa Najib bersalah sebelum beliau didakwa di mana-mana mahkamah.

Pada 12 Jun tahun lalu, Najib, 68, mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram dengan disokong dua afidavit difailkan Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam permohonannya, Najib memohon diisytiharkan wujud konflik kepentingan antara pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah dan juga menjadi Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Pada 12 Disember 2018, Najib, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau dituduh menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu, bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu