Nation
260

Keputusan permohonan Rosmah gugurkan Sri Ram, batalkan perbicaraan 9 Sept

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 9 Sept bagi keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya membabitkan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah.

“Saya memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusan. Saya mencadangkan untuk memberi keputusan saya pada 9 Sept, pukul 9 pagi,” kata hakim.

Terdahulu, Sri Ram berhujah bahawa pelantikan beliau di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dari 30 Ogos 2018 oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah.

Seksyen 376(3) memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk melantik timbalan pendakwa raya yang akan melaksanakan kuasa pendakwa raya.

Sri Ram juga berhujah bahawa Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun yang telah mengeluarkan surat undur tarikh mengenai pelantikannya pada 21 Mei, tahun ini, dapat membetulkan segala kecacatan oleh Thomas kerana Seksyen 50 (b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388 ) memberi kuasa kepada mana-mana pihak berkuasa untuk membuat lantikan dengan kesan retrospektif.

“Seperti Parlimen telah memberikan kuasa kepada eksekutif atau pihak berkuasa pentadbiran untuk membuat pelantikan retrospektif,” kata Sri Ram.

Sementara itu, Jagjit berpendapat pelantikan Sri Ram bertujuan untuk mengendalikan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak berkaitan dengan kes solar Rosmah.

“Sri Ram tidak mempunyai kuasa undang-undang atau locus standi untuk muncul dalam perbicaraan ini. Surat pelantikan beliau tiada kaitan dengan kes projek solar Rosmah,” katanya.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu