Politics
115

Keputusan SPR laksana undi 18 tahun depan terima pelbagai reaksi, pandangan

Kuala Lumpur – Pelbagai pandangan dan reaksi diberikan pemimpin parti berhubung pelaksanaan untuk Undi 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pemilih automatik yang dijangka selepas 1 Sept tahun depan.

Ada dalam kalangan mereka menyokong keputusan itu dengan menyatakan proses mengundi memerlukan kematangan dan tidak boleh diukur menerusi umur semata-mata, dan ada juga pihak yang melahirkan rasa kesal.

Usia minimum mengundi rakyat Malaysia direndahkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini, selepas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS bersetuju dengan keputusan itu, malah pertimbangan terhadap kematangan perlu dilakukan dan bukan bergantung kepada umur semata-mata.

“Undi bergantung kepada kematangan, jangan undi 18 tahun sahaja… mesti ada kematangan. Kita tak boleh terpengaruh dengan barat. Dalam Islam ada disebut ‘sinnu rushdi’, tahun kematangan.

“Kematangan boleh berlaku 16 tahun, 18 tahun atau 25 tahun. Orang 40 tahun tak matang lagi pun ada, tetapi malangnya kita berpandu kepada konsep demokrasi barat pada umur, bukan kematangan. Sebab itu perlu dibuat pertimbangan kepada kematangan bukan kepada umur sahaja,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata pelaksanaan Undi 18 masih perlu melalui proses yang panjang merangkumi pindaan peruntukan undang-undang pilihan raya termasuk pindaan di peringkat negeri.

Beliau berkata walaupun perkara itu sudah dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan, tidak bermakna proses itu selesai kerana ia perlu digazetkan tidak hanya di peringkat Persekutuan malah di peringkat negeri.

“Kalau kita hendak membenarkan di peringkat Parlimen sahaja tetapi tidak benar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pun tidak boleh. Saya difahamkan hanya satu negeri yang sudah melalui proses itu (pindaan undi 18 tahun).

“SPR juga sudah jelaskan… kebetulan ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin mengganggu proses itu. Jadi mereka perlu lebih masa untuk proses itu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan juga tidak pernah berjanji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dilaksanakan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

“Bila kita pinda, dengan harapan mereka akan mengundi pada pilihan raya umum seterusnya iaitu pada 2023…siapa janji untuk 2020 atau 2021, mereka yang desak kita buat pilihan raya tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata SPR seolah-olah tidak menghormati keputusan Parlimen sebelum ini dan sepatutnya telah bersedia untuk melaksanakannya pada Julai ini.

“Keputusan itu seolah-olah tindakan tidak menghormati institusi Parlimen sebab ia telah digubal dan dipinda perlembagaan sejak 2019. Pada masa itu dikatakan perlu ambil masa dua tahun untuk laksanakannya dan tempoh sepatutnya ialah pada Julai 2021.

“Tetapi sekarang ini dikatakan tidak bersedia dan perlukan setahun lagi. Jadi ia seolah-olah menafikan pengundi muda jika pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan telah menghantar surat kepada SPR hari ini bagi memohon untuk diadakan satu pertemuan bagi membincangkan perkara itu. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu