Nation
108

Kerajaan akan dapatkan data klinikal pengeluar vaksin AstraZeneca : Khairy

George Town – Kerajaan akan mendapatkan data klinikal terkini daripada pihak pengeluar vaksin COVID-19 AstraZeneca untuk dianalisis oleh Kumpulan Kerja Teknikal Pemilihan Vaksin (KKTPV) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), susulan laporan berita mengenai kesan sampingan vaksin itu, di United Kingdom (UK).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak akan membuat keputusan sama ada akan meneruskan dengan pemilihan vaksin itu, hanya berdasarkan laporan berita tetapi sebaliknya, akan membuat penelitian data secara klinikal.

“Kita ada dua lapisan nasihat yang diterima oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang dipengerusikan oleh saya dan Menteri Kesihatan iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin dan NPRA.

“Apabila kita terima maklumat baharu dalam berita, kita akan minta dengan pihak AstraZeneca maklumat klinikal untuk membuat keputusan dan setakat ini, kita belum lagi menerima sebarang maklumat untuk kita membuat pendirian yang berbeza dari apa yang ada sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi (CREST), di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, namun demikian, pihaknya akan mendapatkan maklumat klinikal tersebut agar kedua-dua lapisan berkenaan iaitu KKTPV dan NPRA boleh membuat keputusan dalam menasihatkan para menteri untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas mengenai kebolehan Malaysia untuk menghasilkan vaksin manusia, Khairy berkata kerajaan telah meletakkan cabaran ini dalam Halatuju Pembangunan Vaksin Negara dan berharap ia akan menjadi kenyataan dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM5 juta kepada Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia untuk membangunkan vaksin Koronavirus.

“Kita tidak memberi harapan tinggi kepada rakyat, projek ini masih di peringkat penyelidikan praklinikal. Perkara ini (COVID-19) sesuatu yang amat malang, tetapi ia tidak akan menjadi wabak yang terakhir, jadi setiap negara perlu bersiap sedia.

“Untuk Malaysia, malangnya kali ini kita lihat bahawa kemampuan kita sangat terhad untuk hasilkan vaksin sendiri. Oleh itu, ada baiknya kita melaburkan wang dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin sekarang ini untuk memastikan kita memiliki kemampuan untuk berbuat demikian pada masa depan,” katanya.

Khairy juga memaklumkan bahawa kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan masih belum membuat keputusan untuk mengurangkan tempoh kuarantin bagi mereka yang memasuki negara ini selepas menerima dua dos vaksin. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu