NILAI — Kerajaan mengambil maklum keperluan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menubuhkan sebuah hospital universiti bagi kegunaan dalam latihan kepakaran pelajar perubatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertimbangan serta perbincangan dengan kepimpinan universiti serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu dilakukan bagi menentukan perkara itu.
“Saya perlu pertimbangkan dengan kepimpinan universiti dan KPT untuk menentukan perkara itu.
“Pelajar perubatan pada peringkat awal ini memang menumpang hospital lain…tetapi perlu ada rencana untuk membina hospital, latihan kepakaran itu harus diberikan keutamaan… Saya ambil maklum,” katanya pada Program Temu Anwar Negeri Sembilan.
Perdana Menteri meluangkan masa dua jam bersama hampir 3,000 pelajar universiti serta pelajar tingkatan enam bagi menjawab pelbagai persoalan dan cadangan di USIM, di sini hari ini.
Anwar turut memuji soalan dan cadangan diutarakan oleh para mahasiswa serta pelajar Tingkatan Enam yang disifatkan matang dan akan membawa perkara itu untuk dibincangkan bersama Jemaah Menteri.
Beliau berkata selain itu kerajaan juga meneliti cadangan keperluan penambahan kolej kediaman di USIM iaitu antara permasalahan diutarakan pelajar USIM mengenai keperluan kolej kediaman memandangkan ketika ini terdapat satu kediaman pelajar dengan kapasiti 20 peratus daripada 14,000.
Dalam pada itu Anwar turut menjelaskan kerajaan juga perlu menumpukan kepada keperluan yang lebih penting seperti beberapa perumahan anggota tentera dan polis yang daif dan perlu diberi perhatian.
“Tahun depan kita tumpukan perumahan penjawat awam polis, tentera yang keadaannya daif… Masalah ini diwarisi berpuluh tahun… Kerajaan juga menambah RM2 bilion untuk Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperbaiki sekolah dan klinik desa,” katanya, lapor Bernama.