Nation
86

Kerajaan bakal mulakan vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal : Khairy

Putrajaya – Kerajaan akan memulakan pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal terutama yang perlu beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam masa terdekat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan bekerjasama dengan anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Protect Health Corporation Sdn Bhd untuk menguruskan pengendalian suntikan vaksinasi kepada sektor itu.

Dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, Khairy berkata sektor industri yang terlibat ialah pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

“Setelah melihat kepada penularan kes dan mengambil kira dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memang ada wujud Fasa 4 iaitu Fasa Kawalan Wabak maka JKJAV telah membuat keputusan untuk memulakan pemvaksinan itu.

“JKJAV sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan dan agensi kerajaan yang lain untuk melaksanakan Fasa 4 bagi sektor ekonomi yang terkesan itu,” katanya. — Bernama

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu