Nation
127

Kerajaan cadang usul ungkai ordinan-ordinan darurat

Kuala Lumpur – Kerajaan hari ini membentangkan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat bagi dibahas Ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian berkaitan di Dewan Rakyat.

Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan usul itu berkata Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu dalam mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.

Ini kerana katanya gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan peningkatan kes positif dan jumlah kematian naik begitu mendadak.

Beliau berkata sehingga semalam, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 2,426,050 kes dengan 77,305 kes aktif dan 28,354 kematian.

Wan Junaidi berkata melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih telah dibuat untuk menempatkan dan menguruskan pesakit positif COVID-19 dan pesakit selain pesakit COVID-19.

“Bagi tujuan ini, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) di bawah milikan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diambil alih,” katanya.

Selain itu, menurutnya sejak Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dikuat kuasa bermula 12 Mac hingga 7 Okt lepas, 30 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Ordinan itu bagi tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai COVID-19 serta Proklamasi Darurat, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu