Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Kerajaan diberi tempoh dua bulan lagi untuk selesai saman bekas hakim

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini memberi tempoh dua bulan lagi untuk kerajaan meneliti kemungkinan cadangan penyelesaian dalam saman yang difailkan sekumpulan 35 individu, terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman dan tujuh balu bekas hakim.

Kumpulan itu mengambil tindakan undang-undang tersebut setelah mendakwa kerajaan gagal menetapkan kenaikan sewajarnya dalam pencen dan faedah yang mereka terima sejak 2015.

Bekas anggota badan kehakiman itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Peguam Christopher Leong, yang mewakili plaintif berkata responden memohon lanjutan masa, iaitu tiga bulan lagi sebelum kembali semula kepada plaintif mengenai cadangan tanpa prejudis untuk kemungkinan penyelesaian.

“Saman itu difailkan pada 24 Jan tahun ini dan diserahkan kepada responden pada Februari 2022. Iaitu, 10 hingga lapan bulan telah berlalu. Mahkamah bersetuju hanya memberi tempoh dua bulan lagi untuk responden, dan perkara itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 2.30 petang, 7 Dis.

“Mahkamah juga menyatakan sekiranya perkara itu tidak diselesaikan selewat-lewatnya 7 Dis, mahkamah akan memberi arahan untuk perkembangan prosiding di mahkamah,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini.

Dalam saman yang difailkan pada 24 Jan lepas itu, plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Menurut plaintif, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan, lapor Bernama.

Tags: , ,