Nation
172

Kerajaan diminta pertimbang semula subsidi minyak, minyak masak

Kuala Lumpur – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Kassim, menggesa kerajaan mempertimbang semula keputusan menampung subsidi minyak dan minyak masak sehingga RM8 bilion pada tahun ini kerana langkah itu akan menyebabkan penyeludupan komoditi terbabit ke beberapa negara jiran.

Beliau berkata, jika harga runcit minyak dan minyak masak di selatan Thailand serta wilayah Sumatera di Indonesia dan kepulauan Filipina berhampiran Sabah adalah mengikut trend pasaran, komoditi itu yang disubsidi di Malaysia akan menjadi lebih murah.

“Jika perbezaan harga adalah besar, ini akan membuka peluang produk itu diseludup keluar oleh pihak tertentu bagi meraih keuntungan pantas hasil perdagangan rentas sempadan melalui darat serta laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, subsidi lebih tinggi pada tahun ini susulan kenaikan harga pasaran global.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mensubsidi harga minyak dan minyak masak bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi dalam kos sara hidup.

Mohd Sheriff berkata, penyeludupan diesel di selatan Thailand berleluasa kerana subsidi sedemikian.

Beliau berkata, kelemahan harga subsidi pula ialah golongan berpendapatan tinggi juga akan mendapat manfaat.

Katanya, adalah lebih baik untuk melaksanakan subsidi pendapatan bersasar berbanding subsidi harga seperti dilakukan sebelum ini supaya hanya golongan miskin mendapat manfaat.

“Cara terbaik membantu golongan miskin ialah dengan mensubsidi pendapatan mereka tanpa membazirkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus menyediakan pelan subsidi pendapatan lebih besar kepada mereka yang benar-benar miskin termasuk penjaja kecil yang kehilangan mata pencarian susulan pelaksanaan beberapa langkah bagi membendung pandemik COVID-19. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu