Nation
188

Kerajaan fokus tangani isu miskin tegar : Mustapa

Kota Bharu – Kerajaan akan memberi keutamaan serta penekanan bagi menangani isu miskin tegar di negara ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, pada Khamis lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan pusat akan mengatur strategi baharu untuk menghapuskan isu berkenaan memandangkan mungkin berlaku peningkatan dalam peratusan kadar miskin tegar susulan pandemik COVID-19.

“Dulu (2019) kadar miskin tegar adalah 0.4 peratus dan pada tahun berikutnya ia naik pada 0.8 peratus selepas COVID-19… perkara ini perlu diberi fokus yang lebih. Caranya kerajaan pusat perlu ada pegawai khusus dan di peringkat daerah juga untuk menangani isu kemiskinan.

Penting sekali adalah mengadakan pelbagai program atau projek ekonomi yang lebih berkesan yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Kelantan berhubung RMK-12 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata sebanyak 46.8 peratus daripada RM39 bilion peruntukan bagi pembangunan asas dibelanjakan membabitkan seluruh negara, setakat 3 Okt lepas.

Menurutnya, jumlah peratusan yang dibelanjakan itu mengalami kelewatan daripada perancangan asal disebabkan pelbagai masalah seperti isu pemilikan tanah, kontrak dan sebagainya, selain pandemik COVID-19.

Beliau berkata justeru, kerajaan pusat serta negeri akan memantau rapi setiap projek pembangunan asas bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang pada masa hadapan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu