Nation
175

Kerajaan iktiraf, tidak campur urusan jawatankuasa khas bebas darurat : Takiyuddin

Kuala Lumpur – Kerajaan mengiktiraf kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan tidak campur tangan dalam sebarang urusan jawatankuasa itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sebaliknya kata beliau kerajaan memberikan kerjasama penuh supaya jawatankuasa tersebut dapat melaksanakan fungsinya.

Beliau juga mengulangi komitmen dan jaminan kerajaan untuk sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang.

Menurut Takiyuddin, sepertimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 2, jawatankuasa itu ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan COVID-19.

Kerajaan juga terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuat kuasa, sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata sebahagian daripada kenyataannya semalam berhubung peranan Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang tempoh darurat telah dipetik di luar konteks sebenar.

“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” katanya.

Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata Jemaah Menteri bertanggungjawab meneruskan peranan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Susulan itu, beberapa ahli Jawatankuasa Bebas Darurat 2021, antaranya Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilapor meminta Takiyuddin menjelaskan fungsi jawatankuasa tersebut.

Ini kerana menurut Saifuddin Nasution, jawatankuasa itu yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik, iaitu ‘menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya’. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu