Nation
236

Kerajaan jamin siasatan terhadap Azam Baki ikut lunas undang-undang

Putrajaya – Kerajaan memberi jaminan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilakukan mengikut lunas undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kes itu kini diteliti oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya sedar ramai pihak yang mendesak agar tindakan diambil terhadap Tan Sri Azam. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan kami hanya boleh membuat keputusan mengenai perkara itu selepas selesai siasatan oleh SC serta PDRM,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata sementara menunggu siasatan selesai, semua pihak diminta bertenang kerana kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

Mengulas desakan agar SPRM diletak di bawah Parlimen, Wan Junaidi berkata perkara itu bukan mudah dan perlu diteliti.

“Bagi membolehkan SPRM menjadi sebuah agensi penguat kuasa yang berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas.

“Penubuhan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) memastikan kebebasan suruhanjaya itu dan perkara ini tidak boleh dikompromi dalam apa jua cara,” katanya, lapor Bernama.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu