Nation
365

Kerajaan kaji longgar SOP jika kes turun 4,000 sehari

Johor Bahru – Kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekiranya kes positif Covid-19 harian menurun kepada 4,000 ke bawah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan kerajaan pada masa sama, turut mengadakan mesyuarat khas bertujuan membincangkan pelan keluar daripada pelaksanaan PKP sepenuhnya.

“Berhubung pelaksanaan PKP 3.0, saya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa jika kes harian menurun kepada 4,000 sehari, kajian semula terhadap SOP akan dibuat.

“Ini bukan bermakna menamatkan PKP 3.0, tetapi, mungkin kaji semula peraturan yang mana boleh dilonggarkan sedikit dan sebagainya. Ini kerana impaknya hanya akan dapat dilihat selepas 14 hari, kerana itu tempoh masa inkubasi wabak berkenaan.

“Kita berdoa selepas 14 hari kes turun, kita boleh kaji semula SOP yang kita anggap mungkin sedikit ketat. Tetapi, saya tidak boleh janji kerana ia bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Dr. Mohd. Arshil Moideen.

Sementara itu, mengulas mengenai jalan keluar daripada PKP ketika ini, menurut Ismail Sabri, perbincangan secara keseluruhan ke arah itu memang ada, namun, perkara yang perlu diutamakan ketika ini adalah proses vaksinasi rakyat yang perlu dilakukan bagi mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan.

“Kalau boleh capai sasaran itu, saya percaya secara perlahan-lahan kita boleh buka (keluar PKP secara keseluruhan),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ATM bersedia membina enam buah lagi hospital medan bagi membantu menghadapi Covid-19 disamping enam buah hospital itu yang kini beroperasi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Kapit, Pokok Sena, Kepala Batas, Tawau dan terbaharu di HSA.

“Setakat hari ini, ada enam buah hospital medan yang telah didirikan ATM. Kita akan terus berbincang dengan Kementerian Kesihatan jika masih terdapat keperluan untuk menambah lagi fasiliti itu.

“Selepas peruntukan tambahan RM1 bilion diterima daripada kerajaan, kita boleh membuka enam buah lagi hospital medan jika diperlukan dan bersedia melakukan lantikan kontrak melibatkan 30 doktor dan 100 paramedik daripada ATM beserta peralatan,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, Hospital Medan di HSA akan mula beroperasi pada Khamis ini dan akan mengendalikan pesakit Covid-19 dalam kategori ketiga dan keempat.

“Dengan pembinaan hospital medan ini, ia akan menambah 60 katil bagi pesakit termasuk empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya percaya kita dapat bantu kurangkan bebanan dan keperluan katil pihak HSA selain pembinaan di kawasan hospital juga akan memudahkan pergerakan dan bantuan doktor serta jururawat bertugas,” ujarnya. — Utusan Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu