Nation
225

Kerajaan lancar PEMERKASA bernilai RM20 bilion, suntikan fiskal RM11 bilion

Kuala Lumpur – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus menyokong proses pemulihan ekonomi negara kerajaan hari ini melancarkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion serta suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PEMERKASA yang mempunyai lima fokus utama itu akan menumpukan kepada 20 initiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

“Negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R (Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform) Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu, “Revitalise” atau memperkasa ekonomi.”

“Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi,” katanya semasa mengumumkan program PEMERKASA itu hari ini.

Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan enam pakej bantuan yang berjumlah RM340 bilion, iaitu PRIHATIN sebanyak RM250 bilion, PRIHATIN PKS RM10 bilion, PENJANA RM35 bilion, Kita PRIHATIN RM10 bilion, PERMAI RM15 bilion dan PEMERKASA RM20 bilion.

Lima fokus PEMERKASA ialah mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuhkan daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

Antara initiatif PEMERKASA ialah kenaikan peruntukan bagi program imunisasi kepada RM5 bilion daripada RM3 billion untuk mempercepat sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal pada suku pertama 2022.

Muhyiddin berkata kerajaan juga komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.

“Kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 kepada RM5 bilion daripada RM2.5 bilion. Antara projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan seperti infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir,” katanya.

Selain itu, kemudahan mikro kredit juga akan disediakan, antaranya, melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu dana sebanyak RM300 juta akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000, dengan kadar faedah dikurangkan kepada 3 peratus daripada 3.5 peratus.

TEKUN Nasional pula akan memperkenalkan program TEKUN POS-prenuer yang mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaraan barangan.

SME Corporation juga akan terlibat dan menyediakan RM50 juta untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah serendah tiga peratus, katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan inisiatif untuk merangsangkan semula sektor pelancongan dan peruncitan dengan pelbagai pengecualian cukai dan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan.

Beliau berkata, untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di Pasaran Utama, LEAP atau ACE.

Kerajaan juga meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk mengalakkan pelaburan dalam mekanisme dan automasi industri sawit.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta mengalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain indusri,” katanya.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima bagi bantuan secara one-off (sekali) sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang hilang pendapatan.

“Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar ini termasuk golongan gelandangan.

Oleh itu, inisiatif seperti pusat perlindungan sementara akan disediakan.

“Bantuan barangan dapur turun disediakan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta dan dijangka memanfaatkan 300,000 isi rumah miskin di bandar-bandar utama diseluruh negara,” katanya.

Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat kepada RM1,500 daripada RM1,200 sebulan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

Menurutnya, PEMERKASA adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

“Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan yang Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu