Nation
320

Kerajaan mohon lucut hak wang lebih RM500,000 milik Alvin Goh, isteri ‘Datuk Addy Kana’

Kuala Lumpur – Kerajaan memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Notis usul itu difailkan oleh pendakwa raya selaku pemohon secara berasingan pada 29 Sept lepas dengan menamakan Goh, 33, dan syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd serta Alyaa, 34, dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden.

Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon untuk melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.

Pendakwa raya juga memohon untuk melucut hak wang milik Alyaa berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari tahun ini didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini, mahkamah menetapkan 29 Dis ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan berhubung status penyiaran notis warta kepada pihak ketiga.

Pihak ketiga berkepentingan perlu tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Goh diwakili peguam Lim Jin Wen dan Alyaa diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisyam, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu