Nation
172

Kerajaan, pembangkang setuju tukar komposisi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Kuala Lumpur – Kerajaan dan pembangkang bersetuju untuk menukar komposisi semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan perkara itu dijangka dapat dikemukakan di Dewan Rakyat Selasa ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata perkara itu terlebih dahulu akan dibawa ke Jawatankuasa Dewan esok untuk diputuskan sebelum menteri membawa usul mengenai pertukaran komposisi itu pada pagi Isnin.

“… selepas sahaja usul menteri di pagi Isnin itu, saya akan panggil Jawatankuasa Pemilih tengah hari Isnin dan Insya Allah pada Selasa kita boleh kemukakan di dewan mengenai komposisi dan ahli baharu semua jawatankuasa pilihan khas itu.

“Itu status yang terkini,” katanya menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan yang didakwa masih belum mengadakan sebarang mesyuarat.

Menjawab persoalan ketiadaan mesyuarat jawatankuasa berkenaan sebelum ini, Azhar berkata pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan telah dilantik menjadi Timbalan Menteri, sekali gus memaksa jawatankuasa itu melantik pengerusi baharu.

Terdahulu Azhar turut menegur mengenai isu jawapan berulang serta tidak tepat yang disediakan kementerian semasa sesi soal jawab selepas dibangkitkan Teo dan Hannah Yeoh (PH-Segambut).

“Biar saya tanya Setiausaha Dewan Rakyat apa yang terjadi, bagaimana boleh soalan yang sama dijawab dalam sesi yang sama dan jawapan yang identical. Itu tak sepatutnya terjadi, saya setuju… kita akan ambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan.

“Saya juga telah ambil tindakan mengenai jawapan yang kurang tepat dan tidak mempunyai butir ini banyak kali…Kulai pun dua kali tulis. Saya telah pohon jawapan yang lebih baik diberikan.

“Jadi kalau Segambut boleh beri saya surat dan bagi detail tentang soalan mana dan jawapan mana, saya akan ambil tindakan. Bagi saya surat dan saya akan ambil tindakan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu