Nation
11K

Kerajaan perlu siasat pesawat pengintip Israel

Petaling Jaya – Kerajaan perlu segera menyiasat tujuan sebuah pesawat Israel yang melalui ruang udara negara di pusat pentadbiran, Putrajaya berikutan insiden itu menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Walaupun pesawat jenis Boeing 737-400 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) itu dilapor melakukan penerbangan ujian, namun, dalam perjalanannya ke Singapura, ia tidak perlu melalui ruang udara Kuala Lumpur.

Justeru, kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat apabila Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memberi kebenaran kepada pesawat itu memasuki ruang udara negara ketika dalam perjalanan dari Tel-Aviv ke Singapura.

Perkara itu dibangkitkan Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azmi Hassan, yang menjelaskan keraguan ini timbul apabila pesawat pengintip terbang melalui ruang udara pusat pentadbiran kerajaan.

“Kalau dikatakan pesawat pengintip itu melalui ruang udara kita, sudah pasti pihak berkuasa tahu kerana setiap laluan pesawat itu mesti mendapat kebenaran daripada pihak kita. Terutama sekali pesawat sedemikian rupa.

“Bagi saya, kedudukan dalam negara seperti tempat kem tentera dan sebagainya, itu sememangnya sudah diketahui oleh mana-mana negara pun. Namun, apa yang dibimbangi penggunaan pesawat intip ini adalah kemampuan mendapatkan data-data lebih terperinci secara elektronik seperti perbualan telefon dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, kewujudan pesawat prototaip pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO milik Israel ketika dalam penerbangan dari Tel-Aviv ke Singapura memasuki ruang udara negara dan berlegar selama empat jam sebelum mendarat itu menimbulkan kegemparan terutama dalam media sosial.

Pesawat itu dikesan memasuki ruang udara Malaysia pada pukul 6 pagi 20 Mei menerusi laman web Flight radar sebelum dilaporkan beberapa agensi berita tempatan.

Tambah Dr. Azmi, insiden itu menimbulkan keresahan selepas Israel sebelum ini melabel Malaysia sebagai negara paling tegar menyokong Palestin selepas krisis kemanusiaan di Gaza tercetus sejak pertengahan Mei.

“Tetapi dalam hal ini, saya melihat jikalau isu di Gaza tidak berlaku, kemungkinan perkara ini tidak timbul tanda tanya. Oleh kerana Israel melabelkan Malaysia sebagai penyokong tegar Palestin, itu yang menimbulkan kesangsian di situ.

“Jadi, masalah ini mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di Gaza, Palestin baru-baru ini, di mana Malaysia dianggap sebagai penyokong kuat Palestin,” ujarnya. – Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu