ALOR SETAR — Penyediaan peruntukan RM1.25 juta bagi membaiki empat klinik kesihatan di Kubang Pasu membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan begitu prihatin terhadap usaha menaik taraf kemudahan perkhidmatan itu untuk rakyat di Kedah, khususnya di daerah berkenaan.
Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kubang Pasu Datuk Shamsuddin Ahmad berkata sebagai penduduk di daerah itu, beliau gembira dengan langkah kerajaan menyediakan peruntukan bagi menambah baik mutu kesihatan di Kedah.
“Peruntukan ini memang ditunggu-tunggu oleh penduduk Kubang Pasu. Terima kasih kerana telah meluluskan peruntukan ini dengan segera… jadi, kerja-kerja pembaikan empat klinik kesihatan ini dapat dilakukan dengan segera,” katanya lapor Bernama.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun baharu di sini.
Ketika berucap pada majlis itu, Anwar antara lain berkata di Kedah, kerajaan pusat memperuntuk RM10.1 juta bagi pembaikan 40 klinik kesihatan dan enam sekolah daif daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 di negeri tersebut.
Bagi Siti Rahmah Abdul Muin, 63, dari Kampung Belukar, peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih klinik kesihatan itu sudah pasti menjadikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Kubang Pasu lebih baik dan efisien.
“Ini untuk keselesaan penduduk di sini… walaupun perkhidmatan kesihatan di sini sudah baik tetapi mungkin lepas ini ia akan jadi lebih baik. Jadi, penduduk tidak perlu ke klinik atau hospital swasta lain untuk mendapatkan rawatan,” katanya.