Nation
118

Kerajaan peruntuk lebih RM100 juta untuk naik taraf SWASLA : Hamzah

Pelabuhan Klang – Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta untuk menaik taraf Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) kelolaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, melalui perairan negara serta risiko ancaman COVID-19 yang dibawa mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, SWASLA merupakan sistem rangkaian radar 24 jam, yang digunakan bagi mengawasi dan mengesan semua jenis pergerakan bot atau kapal, yang mencurigakan di perairan negara.

“Antara strategi utama kerajaan dalam memerangi COVID-19 adalah, dengan memastikan tiada kemasukan warga asing secara haram ke dalam negara, yang boleh membawa jangkitan COVID-19 kepada rakyat Malaysia.

“Rancangan ini (naik taraf) telah pun bermula tiga tahun yang lepas, dan akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk memberikan peruntukan untuk kita menambah baik SWASLA yang ada, dan memperbaiki sekiranya ada kelemahan ataupun kerosakan terhadap SWASLA yang ada hari ini,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke ‘Area Control Centre’ SWASLA di sini hari ini.

Hamzah berkata, projek menambah baik SWASLA ini akan dapat dimulakan dalam tempoh satu atau dua bulan ini dengan berdasarkan kepada tender yang dikeluarkan baru-baru ini mendapati APMM memerlukan peruntukan tambahan untuknya.

Beliau berkata, APMM yang merupakan salah satu agensi yang terlibat dalam operasi bersepadu Op Benteng, telah berjaya mengesan 443 pergerakan mencurigakan melalui sistem radar SWASLA, sejak operasi itu dilaksanakan bermula Mei 2020 sehingga Mei tahun ini.

“Daripada 443 sasaran curiga tersebut, sebanyak 372 kontak telah berjaya diambil tindakan melalui pemeriksaan, penahanan, pengusiran, amaran dan komunikasi. Hasil daripada itu, sebanyak 40 tangkapan dan pendakwaan telah dilaksanakan,” katanya. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu