Nation
267

Kerajaan prihatin keluhan rakyat di negeri Fasa Satu PPN : PM Muhyiddin

Kuala Lumpur – Kerajaan prihatin terhadap kekecewaan penduduk di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak berpeluang memanfaatkan kemudahan yang diumumkan sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau amat memahami kekecewaan itu, tetapi katanya setiap keputusan untuk memberikan kemudahan tersebut mesti dibuat dengan berhati-hati dan mengambil kira negara masih berada dalam situasi pandemik.

“Kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri.

“Kerajaan sedar, semakin lama perkara ini dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan melihat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesan terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja akan semakin parah.

Beliau berkata kemudahan sektor ekonomi diumum hari ini terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu yang ingin memanfaatkan kemudahan itu telah menerima vaksinasi lengkap.

Antara kemudahan diberikan mulai esok termasuk kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan untuk kembali beroperasi dalam Fasa Satu seperti kedai tembakau, kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi serta kedai barangan terpakai.

Muhyiddin berkata kerajaan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mempertimbangkan kemudahan lain dengan memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat, ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan, serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Penyelaras PPN Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini menjelaskan bahawa matlamat utama Fasa Satu PPN ialah untuk menurunkan bilangan kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi, menggalakkan setiap negeri beralih ke Fasa Dua serta menurunkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu