Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Kerajaan sasar Wilayah Persekutuan jadi bandar pintar menjelang 2030 : Anwar

KUALA LUMPUR — Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu selari dengan konsep Malaysia Madani yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.

“Jabatan Wilayah Persekutuan turut merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar.

“Antara program lain yang telah disusun ialah penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara hari ini, lapor Bernama.

Tags: , ,