Kuala Lumpur Post

Nation

Kerajaan tak campur tangan siasatan polis isu stoking tertera kalimah Allah : PM

KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak campur tangan terhadap sebarang proses siasatan berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh KK Mart cawangan Bandar Sunway di Petaling Jaya baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memberi laluan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menyifatkan isu itu bukanlah boleh diselesaikan melalui sebarang tindakan oleh gerombolan berasingan.

“Kita serah pada siasatan profesional, namun pada masa sama kerajaan tetap berpendirian bahawa tiada tolak ansur terhadap perbuatan sedemikian terutamanya membabitkan agama Islam, agama Persekutuan di negara ini.

“Namun bukan agama Islam sahaja, (juga) termasuklah menghina mana-mana kaum dan agama lain, ia tiada tolak ansur. Kita nak selamatkan negara dan perlu tindakan tegas bagi menentukan tidak berlaku mana-mana perlakuan (seperti itu) lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Anwar dalam ucapannya juga meminta seluruh pimpinan dan anggota polis untuk terus bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah secara bersungguh-sungguh, tegas dan berani.

“Saya merayu banteras rasuah ini untuk selamatkan negara dan bangsa, jangan kita khianati amanah ini walaupun ia bukan mudah. Bila rasuah mula menjadi sistemik, ia akan menghakis seluruh sendi anggota dan ia perlu ketangkasan dan kekuatan untuk bertempur dalam bidang ini (rasuah).

“Sama-sama kita ingat pesanan 3C bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada tahun 1961 iaitu, Communism, Corruption, Communalism, maknanya apa, ada sebut soal rasuah, pada 1961 lagi pimpinan kita dah nampak… kini 2024 pun kita masih bertarung dengan isu rasuah,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menasihati pasukan polis untuk terus meningkatkan integriti.

Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sudah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk memberi kemudahan kepada sebarang proses membabitkan penambahbaikan premis dan perumahan anggota polis.

“Kita bicara soal polis kena berlawan hadapi soal digital, jenayah komersial, tapi bangunannya 20-30 tahun kekal dengan kemudahan usang, pejabat 30 tahun ketinggalan dari aspek kemudahan, sebab itu kita sekarang tumpu perumahan dan pejabat polis.

“Saya beri laluan pada Kementerian Dalam Negeri agar sebarang proses tender dipercepatkan, kita cuba sedaya upaya baiki,” katanya.