Kuala Lumpur Post

Nation

Kerajaan teliti implikasi, syarat cadangan letak SPRM di bawah Parlimen : PM Anwar

BUKIT MERTAJAM — Kerajaan akan meneliti implikasi berhubung cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata syarat-syarat ketat mengenai cadangan itu juga perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

“Hal itu (meletakkan SPRM di bawah Parlimen) harus kita bincang … kita kena teliti syarat-syarat ketat (sebelum melaksanakannya),” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Mengkuang Semarak.

Beliau turut menyifatkan SPRM kini kelihatan lebih ‘garang’ berbanding dahulu.

Kata Anwar, walaupun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab badan itu untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat salah laku tanpa mengira status seseorang.

Ahad lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika menjadi tetamu audio siar bersama sebuah penerbitan berita tidak bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen.

Katanya, SPRM satu-satunya agensi dipantau lima badan bebas berbanding Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang dipantau empat badan pengawasan.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri juga berikrar untuk menjadikan Cherok Tokun sebagai sebuah Kampung Madani hebat dengan menjadikan ia kampung angkat beliau.